Hidup ibarat pelayaran yang panjang. Bersedialah dengan bekal secukupnya menghadapi ombak dugaan sebelum tiba ke destinasi impian.
Hidup ibarat pelayaran yang panjang. Bersedialah dengan bekal secukupnya menghadapi ombak dugaan sebelum tiba ke destinasi impian.
Apakah kaitan kemahiran berfikir aras tinggi dengan pengajaran bahasa?
Bahasa ialah wahana paling kuat kerana ia menyediakan wacana kepada guru dan pelajar dalam proses pengajaran serta pembelajaran. Komponen bahasa sebenarnya memberi peluang kepada guru dalam proses pengajaran yang membabitkan mendengar, bertutur dan membaca selain sastera serta tatabahasa. Hal ini bergantung kepada kesanggupan dan kerelaan guru untuk menggunakannya sebagai wahana. Seorang sarjana, Dr. NS Rajendran, pensyarah UPSI pernah pernah membentangkan kertas kerja di Beijing, China, mengenai kemampuan bahasa Melayu sebagai penyumbang kepada kemahiran berfikir aras tinggi apabila bahasa dengan komponen tatabahasa dan sastera digunakan sepenuhnya.
Bagaimanakah peranan sastera dalam kemahiran berfikir aras tinggi?
Sastera sebenarnya mempunyai sentimen, cerita, plot dan watak yang sama dengan kehidupan kita. Guru yang kreatif boleh membawa pelajar masuk ke dalam perbincangan yang mendalami. Contohnya, teks ucapan Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Usman Awang, ketika menerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ada mempersoalkan sebab beliau menerimanya iaitu adakah beliau menerimanya kerana tidak lagi memperjuangkan nasib orang miskin atau sudah uzur. Oleh itu, guru sastera atau bahasa Melayu boleh mengemukakan teks itu kepada pelajar dan membincangkan kewajaran kenyataan Allahyarham.
Bagaimanakah pula kaitannya dengan penguasaan bahasa di kalangan pelajar luar bandar?
Apabila pelajar lemah dalam mata pelajaran bahasa, ia menjadi cabaran besar kepada guru dalam proses pengajaran. Bagaimanapun, ia tidak bermakna, pelajar berkenaan tidak ada harapan untuk menguasai kemahiran berfikir. Sebaliknya, guru perlu memperuntukkan lebih banyak waktu dan melakukan pelbagai aktiviti dalam membangkitkan minat pelajar. Guru perlu sabar menunggu jawapan dan reaksi pelajar.
Bagaimanakah contoh bentuk pemikiran aras tinggi dalam membantu penguasaan bahasa?
Apabila guru mahu menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar kemahiran berfikir aras tinggi, guru perlu mencari teks yang sesuai dan menarik. Hal ini bertujuan menarik minat pelajar kerana ia tidak lagi sama atau biasa kepada pelajar. Guru perlu mencipta pelbagai cara dalam menggunakan teks berkenaan, sekali gus dapat membawa pelajar untuk turut serta dalam perbincangan. Ini berbeza dengan kebanyakan pengajaran dan pembelajaran sedia ada kerana kajian mendapati ia tidak menarik dan menyeronokkan sehingga pelajar menjadi bosan. Oleh itu, guru perlu menukar strategi pengajaran. Selain itu, teknik paling baik digunakan ialah teknik penyoalan sama ada secara bertulis atau lisan. Soalan yang digunakan ialah berbentuk soalan aras tinggi, iaitu soalan mengapa dan bagaimana.
Apakah kepentingan kemahiran berfikir aras tinggi?
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selalu menekankan modal insan. Sebenarnya, ia terma sosiologi pendidikan yang pernah dipopularkan sebelum ini tetapi diberi nafas baru oleh Abdullah. Secara ringkasnya, modal insan bermaksud kita mempercayai potensi yang ada dalam individu. Ini bertepatan dengan falsafah Islam apabila Imam Ghazali menegaskan bahawa ilmu sudah wujud dalam manusia seperti benih dalam tanah. Ahli falsafah daripada pelbagai agama turut mengakui pandangan Ghazali. Oleh itu, kita perlu percaya setiap kanak-kanak ada potensi untuk berfikir dan berjaya. Langkah kedua pula, kita memberi ilmu kepada mereka. Kemahiran berfikir aras tinggi akan memudahkan mereka untuk menggunakan ilmu itu dan melihat dunia secara matang.
Ada 2 perkara utama yang membentuk seseorang. Pengalaman – pengalaman yang diperoleh daripada pelbagai persekitaran dan ragam manusia yang ditemui, jelas memberikan nilai kematangan. Minda – Pembacaan yang luas, berkualiti serta rencam dan proses menginterpretasikannya menjelmakan daya intelek dan menambah kebijaksanaan.
Ada banyak yang saya ingin kongsi bersama dan pemikiran saya mungkin mengejutkan. Ini kerana saya sering melihat daripada perspektif yang pelbagai dan jarang terikat dengan satu pendapat.
Seorang pemikir yang saya minati, Umar Junus berpendapat bahawa tiada satu pendapat atau penilaian yang mutlak. Tiada satu rumusan atau pandangan yang betul atau salah. Ini bergantung pada hujah, logik dan bukti yang disandarkan. Apa pun, yang jelas bagi saya ialah ilmu merupakan asas penting. Tanpa ilmu, kata-kata kita adalah kosong. Hanya ilmu yang berupaya memperlihatkan nilai sebenar diri seseorang dalam memperjuangkan sesuatu.
Terimalah sajian pemikiran dan sekelumit pengalaman saya yang mungkin berguna untuk manusia sejagat.